Wednesday, November 23, 2016

MANUSKRIP LAMA


Judul: Kanz al-Minan ‘ala Hikam Abi Madyan
كنز المنن على حكم أبي مدين)


Kategori: Tasawuf
Pengarang: al-‘Arifbillah Syaikh Daud bin Syaikh ‘Abdullah al-Fathani
Jumlah halaman: 101 halaman
Tarikh selesai diterjemah: 23 Rabi’ulakhir 1240H/1824M di Makkah al-Musyarrafah
Penerbit: Khazanah Fathaniyah
Tahun Penerbitan: 1420H/1999M

Size kitab: 20cm x 29cm





Kitab ini adalah sebuah kitab tasawuf yang diterjemahkan oleh seorang ulama besar alam Melayu iaitu Bahjah al-Diin al-‘Alim al-‘Allamah al-‘Arif al-Rabbani Shahib al-Karamah al-Syaikh Daud bin Syaikh Wan ‘Abdullah al-Fathani. Kitab ini diselesaikan terjemahannya pada hari Rabu 23 Rabiulakhir 1240H/1824M di Makkah al-Musyarrafah. 

Sedikit pengenalan mengenai Abu Madyan;


Nama beliau adalah Abu Madyan Syu’aib ibn al-Husin al-Anshori al-Andalusi al-Tilmasani. Dilahairkan pada tahun 506H disebuah kota bernama Cantillana berhampiran dengan Sevilla (Isybiliyah) di Andalus (Sepanyol). Beliau wafat dan dimakamkan di Ubbad, Algeria. Digelar sebagai Syaikh al-Syuyukh kerana beliau merupakan guru kepada para masyaikh. Al-‘Allamah al-Muarrikh Yusuf ibn Ya’kub at-Talidi dan Muhammad ibn Muhammad Makhluf serta para muhaqqiq lain mengatakan bahwa telah lahir ditangannya (Abu Madyan) seribu syaikh dari kalangan para wali dan ahli shufi yang memiliki karamah. Antara guru-guru beliau adalah Sulthanul Auliya` Syaikh ‘Abdul Qadir al-Jilani (560H); Al-‘Arifbillah al-‘Allamah Abu al-Hasan ‘Ali ibn Ismail ibn Hirzihim (559H) danAl-‘Allamah al-Faqih Abu al-Hassan ‘Ali ibn Ghalib (568H).

Mempunyai ramai murid dan diantaranya Al-Imam al-Akbar al-‘Arifbillah Muhyiddin ibn al-‘Arabi; Al-Imam al-Hafidz al-Faqih Abu Muhamad Abdul haq asy-Syibili (581H); Ustadz al-‘Adzam al-Faqih al-Muqaddam Muhammad ibn ‘Ali - Abu Madyan telah mengirimkan khirqah sufiyah melalui salah seorang muridnya untuk dipakaikan kepada Faqih al-Muqaddam, walaupun mereka tidak pernah bertemu; Sidi Muhammad ibn Harazim ibn ‘Ali – beliau adalah merupakan cucu kepada Sidi ‘Ali ibn Ismail ibn Hirzihim [guru kepada Abu Madyan] iaitu guru kepada Sidi Abu al-Hasan asy-Syadhuli; Sidi Abdur Razzak al-Jazuli dan lain-lain lagi.
Hikam Abi Madyan ini juga dikenali dengan nama Hikam al-Ghauts. Hikam ini disyarahkan oleh beberapa ulama, antaranya oleh Sidi Ahmad ibn Musthafa al-‘Alawi bertajuk al-Mawad al-Ghaitsiyyah an-Nasyi’ah ‘an al-Hikam al-Ghautsiyyah, Syaikh Syihabuddin Ahmad ibn ‘Abdur Qadir Ba’Isyan berjudul al-Bayan wa al-Mazid al-Mushtamil 'ala Ma'ani at-Tanzih wa Haqa'iq at- Tawhid 'ala Uns al-Wahid wa Nuzhat al-Murid lil-Ghawts Abi Madyan al-Tilmisaani, Sayyid ‘Ali al-Bayyumi berjudul al-Asrar al-Khafiyyah al-Muwassilah ila al-Hadrah al-‘Aliyyahdan lain-lain. Di Nusantara yang ditemui adalah sebuah kitab syarah hikam berjudul Kanz al-Minan yang diterjemahkan oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani.

Kitab hikam ini adalah salah sebuah dari 3 buah syarah hikam yang berlegar di Nusantara iaitu Fath al-Rahman Syarh Hikam Ibn Raslan oleh Syaikh Arsyad al-Banjari dan Syarah Hikam Ibn ‘Athoillah oleh Syaikh ‘Abdul Malik Pulau Manis @ Tok Pulau Manis. Didalam koleksi al-Faqir, terdapat juga sebuah kitab syarah Hikam Abi Madyan yang ditulis oleh Ustaz Abu Bakar Palestin yang masih hanyalah didalam bentuk manuskrip.

Selain itu, al-Fadhil Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki juga ada mengeluarkan sebuah kitab syarah Hikam Abi Madyan yang bertajuk Lathoiful Minan fi Syarh Hikam Abi Madyan.

Adapun kitab Kanz al-Minan oleh Syaikh Daud al-Fathani, sebelumnya sudah tiada lagi di pasaran kitab. Namun di atas usaha Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir, maka pada tahun 1999, kitab ini diterbitkan semula oleh Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur. Untuk mendapatkannya, pengunjung Pustaka al-Fanshuri bolehlah menghubungi alamat berikut:

Khazanah al-Fathaniyah
No.38, Jalan Batu Geliga Satu, Taman Melewar
68100 Batu Caves, Gombak
Tel: 03 – 61897231 atau hubungi
Ustaz Abdul Halim Mohamad 013 -3564496

Dan bagi mereka yang berminat untuk mengetahui isi kandung kitab ini tetapi tidak berkemampuan menguasai tulisan jawi, maka al-Faqir telahpun mengusahakan transliterasi kitab ini. Pada mereka yang berminat, bolehlah membacanya di blog al-Fanshuri. Walau bagaimanapun, bahannya al-Faqir paparkan sedikit demi sedikit.

Marilah kita bertekun didalam mengaji, belajar … kitab-kitab shufi sebagaimana yang dipesan dan diwasiatkan oleh al-Habib al-‘Arifbillah Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi ibn ‘Abbas al-Maliki al-Hasani didalam al-Iqd al-Farid al-Mukhtashar minal Atsbat wal Asanid iaitu : “…. aku juga mewasiatkan supaya menjadikan bacaan kitab-kitab shufi sebagai wirid. Maka perkemaskan renangan kamu didalamnya. Jadikan ia sebagai shahabat dan teman mesra pada waktu pagi dan petang dan pegangan kamu pada semua keadaan. Taklifkan diri kamu untuk beramal dengan isi kandungnya dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegahnya. ………”. Dan Kitab Kanz al-Minan ini adalah merupakan seelok-elok kitab bicara tasawuf, maka seyogialah kita mempelajarinya. InsyaAllah, kitab ini diajar secara bulanan oleh al-Fadhil Tuan Guru Haji ‘Abdul ‘Aziz al-Fathani di Dewan Syaikh Daud al-Fathani. Sila dapatkan ma’lumat pengajian di blog al-Faqir iaitu majlisilmu.blogspot.com. Begitu juga al-Fadhil Syaikh Fuad Kamaluddin al-Maliki juga ada mengajar kitab ini di Rembau.

Sedikit petikan dari kitab Kanz al-Minan:

بسـم الله الرحمن الرحيم

وصلى الله على سيدنا محمد وآله وصحبه وسلم الحمدلله رب العالمين اللهم اجعل ظاهرنا 
مزينا بالشريعة وباطننا محلى بالطريقة

Hei tuhanku! Jadikan olehmu akan zhahir kami berhias dengan syariat dan bathin kami berpakai dengan thoriqat

كي تشرق علينا أنوار الحقيقة، واجعل معاني شجرة لا إله إلا الله محمد رسول الله ثابتة 
راسخة فينا حتى نؤتي أكلها كل حين بإذن ربها

  Supaya benderang atas kami beberapa cahaya haqiqat. Dan jadikan olehmu akan makna pohon kayu
لاإله إلا الله محمد رسول الله  itu tetap lagi biasa pada kami hingga mendatangkan buahnya pada tiap-tiap ketika dengan kurnia Tuhannya.

وأينع ثمرات هذه الشجرة حتى نتفكه بها ونواسي فيها الإخوان

Dan memasakkan buah kayu ini hingga bersedap makan dengan dia dan hingga kami bahagikan 
padanya akan segala saudara

واسقها من مياه أنهار الفضل والإحسان حتى نتحلى بفواكه لاحول ولا قوة إلابالله

Dan dijiruskan olehMu akan dia daripada air beberapa sungai kurnia dan ihsan hingga kami merasai akan manis buah kayu  لاحول ولا قوة إلابالله 

وننفق من هذا الكنزونعم به ونخص كل أواه، لابحولي ولا بقوتي، مذهبي العجز والسلام

Dan hingga kami bahagikan daripada [per]bendaharaan ini dan kami le[n]gkap sekalian dan kami tentukan akan tiap-tiap hati hati yang khusyuk. Tiada daya bagiku dan tiada kuat bagiku. Adalah pada aku itu lemah dan harap sejahtera.

Hei orang yang yang gemar akan berjalan kepada Allah, yang berkehendak akan merasai dengan dzauq manis ma’rifah, jangan engkau mengenderai didalam jalan kepada Allah melainkan dengan kenderaan dhulli (hina) dan iftiqar (berhajat) dan jangan engkau mengambil bekal kepadanya di dalam padang ini melainkan dengan taqwa dan inkisar [pecah atau luluh hati kerana Allah](1). Maka tatkala demikian itu adalah engkau orang yang melentangkan diri bagi nafahaat lagi berjalan yang terlebih hampir jalan ahli mu’amalat lagi terhias bagi turun faidhun yakni limpah pemberian rahmat daripada tuhan yang memberi akan beberapa pemberian.

Maka pahamlah ia akan barang yang telah mengisyarat kepadanya oleh al-‘arif ar-rabbani kamil al-mukammil, waliAllah bila niza’ [wali Allah yang tiada dipertikaikan lagi akan kewaliannya] mursyidul muridin bila difa’ [mursyid bagi murid-murid yang tiada ditolak akan kewibawaan kemursyidannya] yang terlebih besar masyaikh magharib, qutub dairah az-zaman yang mempusaka[i] ulum [ilmu-ilmu] Nabi akhir zaman [iaitu Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم

(Telah muwafaqat) segala masyaikh atas menta’zimkan dan membesarkan dia dan mereka itu beradab pada hadapannya dan adalah رضي الله عنه sangat elok rupanya lagi bersih tubuhnya lagi banyak tawadhu’ lagi zahid akan dunia algi wara’ lagi adalah muhaqqiq ilmunya. Sanya telah menghimpunkan atas baik kelakuannya dan baik perangainya dan karamatnya amat banyak.
Maka adalah suatu hati lalu ia atas himar dan harimau memakan dia setengah tubuhnya dan empunyanya [pemilik himar] itu melihat ia akan dia dari jauh tiada kuasa hampir akan dia. Maka berkata syaikh رضي الله عنه bagi empunya himar mari kita pergi kepadanya. Dan berkata ia pegang olehmu dengan telinganya dan pakaikan dia akan ganti tempat himar engkau selama hari hidupnya. Maka mengambil empunya himar itu akan telinga harimau dan ditunggangnya akan dia dan duduk ia kerjakan pekerjaannya hingga mati harimau itu beberapa tahun dengan karamah syaikh رضي الله عنه .



COPYRIGHT:http://pustaka-alfanshuri.blogspot.com/

3 comments:

Join la blog nie!