Wednesday, November 23, 2016

TEMPERAMENTOLOGI



SAINS ISLAM DALAM BAB PEMAKANAN

Soalannya tentang ilmu pemakanan yang terdapat dalam buku perubatan ulama terdahulu.

1. Saya mendapati bahawa terdapat pengklasifikasian makanan-makanan yang ada di dalam buku perubatan Kitab Ilmu Perubatan Kesufian karya Sheikh Hakim Moinuddin Chishti yang menyatakan bahawa terdapat empat jenis makanan iaitu makanan yang panas dan lembab, sejuk dan lembab, panas dan kering serta sejuk dan kering. Mungkin hal ini juga (makanan panas, sejuk, lembab dan kering) terdapat di dalam buku perubatan lain. Bagaimanakah pengklasifikasian jenis makanan ini terhasil?





2. Soalan seterusnya, Siapakah tokoh Islam yang menguasai dalam bidang makanan secara khususnya dan apakah karya tokoh ini yang boleh didapatkan dan dijadikannya sebagai bahan rujukan? Bagaimanakah untuk dapatkan karya tersebut?

3. Bagaimana mahu meyakinkan orang lain bahawa ilmu dalam bidang perubatan, khususnya di dalam bidang pemakanan ulama’ zaman terdahulu masih relevan dipakai pada zaman sekarang? Ada orang yang mengatakan tentang makanan sejuk dan panas ini tidak wujud pun pengklasifikasian makanan-makanan ini.

4. Adakah makanan pantang yang dikenakan kepada ibu yang melahirkan anak berkaitan dengan ilmu pengklasifikasian makanan-makanan ini? Adakah kesan yang wujud selepas makan makanan pantang itu terhasil daripada gangguan fisiologi semata-mata ataupun kesan daripada makan makanan pantang?


Jawapan;-

1. Benar, klasifikasi sebegitu memang terkenal dalam kalangan ilmuwan Islam pada masa lalu. Empat sifat ini - panas, sejuk, kering, basah - bukan sahaja digunakan dalam ilmu perubatan, malah diguna pakai dalam setiap cabang ilmu sains. Ini kerana, pada zaman tersebut, teori empat unsur - api, angin, air tanah - dan teori empat sifat inilah yang menjadi asas kimia. Secara analoginya, ia bagaikan konsep atom dan casnya.

Secara khusus dalam perubatan klasik, sesuatu bahan itu diklasifikasikan kepada empat kategori berdasarkan empat sifat itu. Bahan itu dikatakan panas sekiranya ia meningkatkan metabolisme tubuh sehingga menghasilkan suhu yang tinggi. Istilah lainnya ialah termogenik. Bahan yang bersifat sebaliknya, iaitu yang mengurangkan metabolisme tubuh, dinamakan bahan sejuk. Bahan yang memberikan kesan hidrasi dinamakan bahan basah, manakala bahan yang menyebabkan dehidrasi dinamakan bahan kering.





Kemudian, setiap satu itu pula, dibahagikan kepada empat peringkat. Contohnya panas peringkat satu sehinggalah panas peringkat keempat. Bahan peringkat pertama ialah bahan yang hanya memberikan kesan jika diambil dalam kuantiti yang banyak. Bahan peringkat kedua ialah bahan yang memberikan kesan jika diambil dalam kuantiti yang sedikit, tetapi tidak sampai memudaratkan. Bahan peringkat ketiga ialah bahan yang memudaratkan tetapi tidak sampai membunuh. Bahan peringkat keempat ialah bahan yang memudaratkan dan membunuh.



2. Tokoh Islam yang paling penting dalam bidang nutrien dan ubatan, atau lebih tepatnya bidang farmakologi dan botani ialah Ibnu Baitar. Karya beliau yang paling penting dalam bidang tersebut ialah kitabnya yang berjudul Jâmi mufradat al-adwiya wa-'l-aghdiya yang menceritakan senarai bahan dan juga khasiatnya satu persatu secara terperinci. Kitab ini masih dijual di negara-negara Arab seperti Mesir.




Rujukan yang lebih asas dan menjadi dasar dalam bidang ini ialah karya Dioscorides, seorang ilmuwan Greek. Karya beliau tentang bahan-bahan perubatan telah dilatinkan dengan judul De Materia Medica.




3. Perlu diketahui bahawa tidaklah semua ilmu klasik itu masih relevan. Tapi itu tidak bererti kita perlu menolak kesemuanya. Jadi, sebaik-baiknya kita mengkaji semula teori-teori lama untuk mengenal pasti sama ada sesuatu teori itu masih relevan atau tidak.

Tentang empat sifat tadi secara khusus, ia masih dikaji oleh sebahagian saintis moden yang terbuka mindanya. Bidang yang mengkaji sifat panas, sejuk, basah dan kering ini dikenali sebagai TEMPERAMENTOLOGI. Cuba cari dan kaji jurnal-jurnal serta tulisan moden yang mengkaji perkara ini secara saintifik.

4. Mengenai makanan pantang ketika mengandung, atau ketika apa-apa keadaan sekalipun, ia sebenarnya merupakan satu konsep yang sedia maklum dalam sains moden, cumanya istilah yang digunakan tidak sama. Konsep asasnya ialah interaksi molekul, contohnya seperti tajuk interaksi ubatan (drug interaction) dalam ilmu farmakologi. Begitulah juga seperti yang diajarkan dalam ilmu biokimia, contohnya ialah apabila seseorang pesakit itu mengalami intoleransi laktosa (lactose intolerance), maka bahan-bahan yang mengandungi laktosa adalah bahan pantang bagi pesakit tersebut.

Jadi, konsep asas berpantang ialah mengelakkan bahan atau nutrien atau ubatan atau molekul yang boleh memberikan kesan negatif atau kesan sampingan kepada seseorang, sama ada kerana tubuhnya sendiri tidak boleh menerima bahan tersebut, ataupun kerana tubuhnya ketika itu sedang mengandungi bahan lain yang akan bertindak balas secara negatif dengan bahan tersebut. Berkaitan dengan makanan pantang ketika mengandung dan setelah bersalin boleh rujuk buku Ensiklopedia perbidanan melayu karangan Anisah Barakbah.





0 comments:

Post a Comment

Join la blog nie!